Wednesday 28 September 2011

PEMBUANGAN BAYI DALAM KALANGAN REMAJA DI MALAYSIA

Sebelum ini kita sering memperkatakan permasalahan tentang seks bebas, pergaulan bebas, penagihan dadah, pencabulan, penderaan anak-anak, dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat. Kini, kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi yang semakin berleluasa. sehingga Masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja ini merupakan satu natijah buruk yang terhasil akibat daripada pelbagai masalah masyarakat yang melanda pada masa kini.  

Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui. Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".


Mereka yang membuang bayi ini biasanya mereka yang sudah terlanjur melakukan seks bebas. Mereka sanggup membuang bayi dengan harapan mereka diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang baru dan semestinya bagi mengelakkan daripada diejek, dicemuh dan dicaci oleh masyarakat setempat tentang perlakuan mereka. Mereka ini tidak sepatutnya dicemuh dan dikeji, sebaliknya diberi bantuan dan sokongan moral dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini. 






Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
  • Kurang Didikan dan Kefahaman Agama
    • Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah     menyebabkan  mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. 

  • Pengaruh Rakan Sebaya
    • Pada usia muda lagi, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini menjadi bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif dan tidak bermoral. Rakan-rakan yang negatif ini tidak teragak-agak mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.
  • Sikap Ingin Tahu Remaja 
    • Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini.


Kesan-kesan masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
  • Kesan kepada Bayi
    • Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi, bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah, yakni usia remaja. Akibat daripada hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri, bayi-bayi telah menjadi mangsa dan kesannya, semua bayi ini hidup tidak mengenali dan mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kandung mereka. Bayi-bayi ini juga terpaksa memikul gelaran anak luar nikah sepanjang hidup mereka walaupun mereka menjadi mangsa keadaan dalam masalah ini. 
  • Kesan kepada Ibu Bayi
    • Kesan yang kedua pula adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi.
  • Kesan kepada Masyarakat
    • Kes pembuangan bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada berlaku.

Langkah-langkah mengatasi masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
  • Peranan Ibu Bapa
    • Para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang penuh kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke lembah maksiat seperti seks rambang, pergaulan bebas, dan sebagainya.

  • Peranan Sekolah
    • Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mencorak sahsiah peribadi remaja daripada terjebak dengan gejala ini. Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan masalah sosial .
  • Pencegahan sebelum berlaku
    • Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Walaupun gejala ini bermula dengan masalah individu tetapi jika tidak dibendung ianya akan memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan masyarakat sekitarnya.

    Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi. Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka.

Friday 23 September 2011

KEGIATAN PELACURAN DI MALAYSIA

Sejak akhir-akhir ini, banyak kes pelacuran sering kali menghiasi di dada akhbar, internet, televisyen dan malah turut juga mendapat perhatian antarabangsa. Ianya seakan telah menjadi satu penyakit serius yang semakin menular dalam masyarakat kita. Serbuan demi serbuan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengatasi atau membendung masalah sosial ini langsung seakan tidak memberikan kesan kepada sindiket pelacuran atau pelacur itu sendiri. 

            
Selagi adanya pelanggan yang melanggani pelacur, pastinya sukar untuk menghapuskan aktiviti pelacuran ini sama sekali. Ini adalah kerana melalui kegiatan pelacuran ini, sindiket dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Ini dapat dibuktikan dengan hasil kajian lima tahun yang telah dilakukan oleh Dr. Lukman @ Zawawi Muhammad Lukman mendapati usia “bapa ayam” yang mengawal pelacur kanak-kanak semakin muda iaitu 18 hingga 20 tahun. Malah, bayaran yang tinggi akan dikenakan kepada pelanggan bagi mendapatkan khidmat pelacur yang masih muda dan “suci”. Oleh sebab itulah, sindiket pelacuran menjadikan golongan ini sebagai sasaran mereka. Pelbagai cara atau taktik yang digunakan oleh pihak sindiket untuk menarik golongan ini menyertai kegiatan pelacuran yang dijalankan oleh pihak sindiket. Mangsa akan ditawarkan dengan pelbagai janji manis yang ditaburkan terutamanya dengan mangsa yang dibelenggu kemiskinan atau desakan hidup. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 4315 kes kanak-kanak berusia bawah 18 tahun terbabit dalam pelacuran antara 1995 hingga 1999 dan jumlah ini adalah jumlah kes yang dapat diselamatkan. Ini jelas menunjukkan, kemiskinan hidup mampu menjadikan seseorang atau mendesak seseorang itu untuk melakukan apa sahaja untuk meneruskan hidup. Sama seperti yang dipaparkan dalam satu akhbar tempatan baru-baru ini, akibat kemiskinan hidup, dua orang ibu terpaksa melacurkan diri di Penang demi membesarkan anak-anak yang bersekolah. Itu merupakan akibat daripada desakan hidup seseorang sehingga memaksa mereka ke kancah pelacuran. Malah, pernah dahulu digemparkan kes pelajar terpaksa melacurkan diri bagi membiayai kos pengajian.



KERATAN AKHBAR


“KOTA KINABALU 4 Dis. – Kementerian Pengajian Tinggi diminta segera menjalankan siasatan yang menyeluruh mengenai dakwaan terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa ‘menjadi pelacur’ bagi membiayai kos pengajian mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Harnisa Samat berkata, masalah itu perludiberi perhatian serius oleh kementerian kerana bukan sahaja menjejaskan nama baik IPT tetapi juga bagi menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat.

“Kita amat berharap ada maklum balas segera daripada pihak kementerian kerana isu ini telah lama diperkatakan dan kini dibangkitkan sekali lagi.

“Isu pelajar IPT ‘terpaksa’ melacur ini ibarat barah yang jika tidak diubati dan diambil langkah-langkah pencegahan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hamisa berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr. Jaina Sintian pada symposium parti itu Khamis lepas bahawa ada pelajar IPT yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka. – Bernama.

 (Sumber: Utusan Malaysia Online)

Walaupun begitu, juga terdapat golongan yang memilih untuk melacurkan diri sebagai jalan mudah untuk mendapatkan kehidupan mewah dan tidak perlu bekerja keras. Tidak dinafikan bahawa terdapat juga mangsa yang terpaksa melacur akibat terpedaya, tertipu atau dipaksa. Terutama bagi golongan remaja yang berdarah panas yang sentiasa mencari sesuatu yang baru dan mencabar atau sebagainya. Tambahan lagi, sekiranya remaja tersebut yang masih tidak mempunyai pemikiran yang matang, mempunyai keluarga yang bermasalah atau mangsa penceraian, amatlah mudah untuk diperdayakan oleh sindiket. Manakala, yang dipaksa pula, kebiasaannya mangsa dipaksa oleh suami untuk melacurkan diri untuk menyara hidup dan sememangnya perbuatan suami ini adalah sangat keji. Terdapat juga mangsa yang dipaksa oleh pemiutang untuk menjadi pelacur bagi melunaskan hutang kepada pemiutang. 

Dengan bertambah pesatnya teknologi berkembang, semakin bertambah juga medium yang digunakan oleh sindiket pelacuran bagi meluaskan dan memudahkan lagi kegiatan mereka. Contohnya, melalui laman sosial seperti Tagged dan juga Myspace, sindiket boleh mendapatkan pelanggan dengan menawarkan pelacur kepada pelanggan. Malah, pelacur juga mampu menjalankan kegiatan pelacuran dan mampu membuat tawar-menawar melalui laman sosial tersebut. Oleh disebabkan itu, pihak berkuasa sukar untuk menangkap dalang sindiket kegiatan pelacuran. Bukan sahaja faktor lokasi yang berubah-ubah menyukarkan pihak berkuasa, malah juga disebabkan perlindungan oleh pihak berpengaruh dan kaya serta kerjasama daripada sindiket luar negara lebih menyukarkan tindakan pihak berkuasa.


 Masyarakat perlulah menitikberatkan tentang masalah ini kerana kesan kegiatan pelacuran adalah sangat buruk. Kesan daripada seseorang yang menjadi pelacur adalah boleh terkena penyakit-berjangkit melalui alat kelamin seperti herpes, sifilis, AIDS dan HIV. Selain masalah psikologi, risiko untuk mengandung anak luar nikah adalah tinggi. Adalah mustahil bagi seseorang pelacur untuk memelihara kandungan apabila mengetahui dirinya mengandung, maka sudah pastilah mereka akan menggugurkan kandungan tersebut. Kesan lain adalah seperti pengambilan dadah, dipandang hina oleh masyarakat, menjatuhkan maruah keluarga dan juga tiada harga diri.

Walau apa pun sebabnya, perlulah dielakkan daripada terjebak dalam kancah pelacuran. Ini adalah kerana bila sudah tersalah langkah sekali dan terjerumus dalam kancah pelacuran ini, amatlah susah untuk kembali semula ke pangkal jalan. Bukannya tiada jalan pulang bagi yang sudah terjebak dalam kegiatan pelacuran ini kerana peluang itu sentiasa ada, cuma apa yang perlu dilakukan adalah untuk bertaubat, berani untuk berubah dan memerlukan semangat yang kuat untuk menjalani kehidupan baru.
Sumber : Sinar Harian Online          




 







PERHUBUNGAN SONGSANG


      Cabaran abad ke 21 merupakan perkara utama yang harus ditangani oleh masyarakat Malaysia dewasa ini. Berhadapan dengan ledakan teknologi maklumat serta segala cara hidup yang diaplikasikan oleh masyarakat negara ini, kita turut terdedah kepada penyakit-penyakit sosial dan mental yang di bawa oleh masyarakat maju pada masa kini. Pemikiran yang telah mula disejagatkan ini lebih berlandaskan cara hidup yang diambil dari masyarakat Barat. Perkara ini tidak boleh dinafikan lagi kerana merekalah peneraju kepada segala perkembangan teknologi yang digunakan di sini. Tanpa kita sedari penghomogenan yang berlaku turut mempengaruhi gaya seks dikalangan masyarakat Malaysia iaitu terdapat pelbagai kes berkaitan salah laku seksual yang semakin membimbangkan.

      Bermula dengan lambakan golongan lembut di IPT, percubaan untuk menghalalkan hubungan sejenis, dan yang terkini melibatkan pembunuhan akibat dari hubungan cinta tiga segi dikalangan sesama jenis. Hal ini semakin menjadi-jadi disebabkan sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini semakin berleluasa. Mereka bersikap demikian kerana menganggap isu ini adalah sesuatu yang memalukan.

       Hubungan songsang merupakan hubungan yang dilakukan sesama sejenis iaitu bagi lelaki menjalinkan hubungan dengan kaum adam sendiri ia juga turut berlaku bagi kaum wanita yang mana turut melakukan hubungan sesama kaum hawa itu.  Hubungan sejenis semakin berleluasa, ini menyebabkan ada lelaki yang berkahwin dengan wanita atas pilihan keluarga namun mereka tidak menyulam perasaan cinta terhadap isteri sebaliknya mereka mempunyai perasaan terhadap lelaki yang lain. Ini disebabkan mereka lebih ‘berselera’ dengan kaum sejenis. Malah lebih teruk, ada lelaki bernafsu songsang ini yang beristeri dan mempunyai anak. Melihat laporan akhbar mengenai gejala homoseksual (liwat), ia sememangnya masalah yang amat membimbangkan pada abad ini. Golongan gay ini semakin berani dan tidak segan melakukan ‘mukadimah’ seks terlarang termasuk bercumbu di tempat-tempat awam. Malah, mereka telah berjaya menubuhkan kelab gay yang menghimpunkan golongan yang dahagakan seks songsang untuk bertemu dan melempiaskan keinginan itu. Homoseksual lebih kepada orientasi seksual yang berkait rapat dengan emosi yang mereka ‘cipta’ sendiri bagi menterjemahkan kebebasan serta kenikmatan yang tersasar dari agama serta semakin menjauhkan diri daripada Allah S.W.T.

Fakto-Faktor Hubungan Songsang

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu terlibat dengan hubungan yang terlarang ini, diantaranya adalah kecenderungan ibu bapa itu tersendiri di mana ibu bapa yang menginginkan anak perempuan sehingga beliau dilayan seperti imaginasi si ibu dan bapa, lantas naluri yang dibentuk menjadi songsang, atas kesilapan ibu bapa. Mereka yang dari kumpulan ini, lazimnya turut berpewatakan lembut kesan persekitaran yang disentuh ke atas mereka. Secara tidak langsung mereka dididik menjadi seorang yang berlainan jantina seterusnya mendorong mereka ke arah itu secara semulajadinya Dalam proses pembesaran, personaliti terbentuk berdasarkan pengalaman, interaksi dan persekitaran yang dilalui seseorang. Selain itu juga, mereka yang memilih untuk melakukan perhubungan songsang, pernah melalui masalah atau gangguan dalam perhubungan sosial mereka. Misalnya mereka memasuki ke sekolah berasrama, meskipun dididik dengan naluri keinginan kepada jantina berlainan, tetapi disebabkan kesukaran atau masalah pergaulan, mereka akan mempunyai keghairahan terhadap pasangan sejenis.

 Ada juga di antara mereka yang terlibat dengan hubungan songsang ini pernah menjadi mangsa kepada perlakuan songsang pada usia awal remaja, dicemar oleh nafsu rakus mana-mana lelaki yang ada di sekeliling mereka sehingga akhirnya kanak-kanak ini membesar dengan membawa catatan hitam itu kepada sebuah dunia keremajaan dan kedewasaan yang mengelirukan. Mungkin juga mereka tidak memperoleh kepuasan daripada hubungan berlainan jantina, atau dengan komunikasi mudah kini, mereka terdedah kepada perkara baru dan mendapat idea baru. Terdapat juga golongan yang rata-rata terjebak ke kancah hitam ini bermula seawal usia remaja. Golongan ini Sebenarnya terdiri dari mereka yang telah hilang jati diri dan terpengaruh dengan cara hidup yang berlandaskan kebendaan semata-mata sehinggakan mereka tanpa segan silu memperdagangkan masa depan mereka. Golongan ini juga mempunyai jaringan antarabangsa yang kukuh dan mereka ini bertopengkan gerakan human right.

Kaedah Mengatasi Masalah Ini

Terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan oleh individu sekiranya  tergolong dalam golongan ini dan menghindarkan diri dari terus tersasar jauh, iaitu individu ini seharusnya berjumpa dengan pakar kaunseling dan menceritakan masalah yang dihadapi, secara tidak langsung tekanan yang dihadapi akan berkurangan.  Selain itu juga sentiasa mendekatkan diri dengan Allah S.W.T dengan memenuhi tuntutan agama dan menghadiri majlis-majlis agama yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Peranan ibubapa juga penting dalam membantu golongan ini untuk berubah ke arah yang benar, iaitu ibu bapa seharusnya memberikan nasihat serta dorongan yang kuat kepada mereka. Golongan ini juga boleh mencuba kaedah rawatan tradisional yang betul bagi memulihkan diri mereka serta mendapat semangat baru.  Pada kebiasaannya golongan homoseksual sukar meninggalkan kehidupan songsang berkenaan, lebih-lebih lagi bila sudah terbiasa dengannya.  Mereka yang mahu meninggalkan kehidupan songsang itu harus kuat menangani gelora nafsu masing-masing dan tekadkan diri untuk berubah dan jauhi rakan yang turut berada dalam golongan itu. Oleh itu ia bergantung kepada diri sendiri sama ada untuk berubah ke arah jalan yang betul atau tidak.

    Kesimpulannya,semua pihak bertanggungjawab untuk mengekang fenomena ini daripada terus berleluasa. Kerjasama yang bersepadu diperlukan untuk menjamin budaya masyarakat Timur serta nilai akhlak yang tinggi agar terus kekal diamalkan oleh masyarakat Malaysia untuk menjamin sebuah negara seimbang daripada semua aspek kehidupan. Masalah yang berteraskan seksual ini harus diperhalusi dan dipantau dengan penuh hikmah, jujur dan ikhlas oleh semua pihak yang berkaitan bagi menjanjikan impak yang positif. Ini kerana sepertimana pepatah melayu lama 'Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat', sekiranya tiada kata sepakat dicapai maka matlamat serta visi untuk mencapai negara maju yang terbilang, gemilang dan cemerlang akan terkubur begitu sahaja.

SEKS BEBAS


Seks bebas dalam pengertian agama Islam adalah zina. Zina adalah nama bagi hubungan seksual antara seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa ikatan pernikahan yang sah atau bukan kerana pernikahan yang subhat, atau nama bagi perbuatan seorang lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan seoran perempuan yang ,menurut naluri manusia wajar tetapi dilarang oleh syarak kerana diluar pernikahan.


Selain itu juga, seks bebas juga adalah hubungan yang dilakukan antara suka sama suka atau dalam dunia prostitusi. Seks bebas bukan hanya dilakukan oleh kaum remaja bahkan yang telah berumah tangga pun sering melakukannya dengan orang yang bukan pasangannya. Biasanya perlakuan ini dilakukan dengan alasan mencari variasi seks ataupun sensasi seks untuk mengatasi kebosanan.

Seks bebas amat tidak patut  dilakukan kerana akan mendapat risiko yang sangat besar. Pada para remaja, kes - kes seperti kehamilan luar nikah sudah pasti berlaku dan seterusnya akan menjerumus kepada kes pembuangan bayi dan kes pengguguran. Seperti yang sedia maklum, pengguguran adalah sesuatu perbuatan yang sangat berbahaya dan berisiko sehingga boleh menyebabkan kemandulan bahkan kematian. Selain itu juga, para pelaku seks bebas sangat berisiko untuk dijangkiti virus HIV yang menyebabkan AIDS ataupun penyakit seksual yang lain. Bagi mereka yang telah berkahwin, seks bebas dilakukan mungkin sekadar hanya untuk berseronok. Biasanya, mereka akan melakukan kecurangan tersebut dengan orang lain. Bahkan ada juga pasangan suami isteri yang mencari orang ketiga sebagai variasi seks mereka.

Kesan penzinaan :
  • Terhadap remaja
    • Kehamilan pada usia yang muda dan sangat berisiko.
    • Kemandulan akibat melakukan pengguguran.
    • Dijangkiti penyakit kelamin atau HIV.
  • Terhadap pasangan yang telah berumah tangga
    • Keretakkan rumah tangga akibat kecurangan 
    • Bagi pasangan yang mempunyai cahaya mata, sudah pasti kebajikan dan perhatian terhadap mereka diabaikan. 
    • Dijangkiti penyakit kelamin atau HIV.

Kesimpulannya, kita haruslah sedar akan keruncingan masalah yang semakin ketara dan merisaukan ini. Oleh itu, kita perlu menyeru kepada semua pihak sama ada individu, keluarga serta masyarakat terutamanya agar dapat meningkatkan kesedaran dalam membendung isu ini.


  

PENCERAIAN ISU RUMAH TANGGA ISLAM


Penceraian! Tahukah anda bahawa ia perkara yang Halal dilaksanakan dalam konteks Islam namun amat tidak disukai Allah? Penceraian di antara suami dan isteri ibarat merobohkan sebuah masjid malahan lebih daripada itu ia akan menggegarkan Tiang Arasy! 

Menyentuh mengenai soal penceraian, ianya dilihat sebagai sesuatu perkara normal yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Tak kurang juga yang beranggapan bahawa isu penceraian kini telah menjadi ‘trend’ atau gaya hidup bagi golongan-golongan tertentu. Tak perlu nak tuding jari kepada artis atau selebriti tanah air yang sememangnya cukup sinonim tentang kamus cerai berai, sebaliknya penyakit yang satu ini tidak mengenal siapa mangsanya.

Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2009, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit! Adalah menjadi sesuatu yang membimbangkan apabila soal institusi keluarga ini dipandang remeh sehinggakan soal perkahwinan dijadikan perkara ‘main-main’ oleh golongan tertentu. Melihat semula catatan statistik kes penceraian yang berlaku pada tahun 2002, sekitar 13,937 kes telah dicatatkan. Sepanjang tahun 2007 dan 2008, 75,299 kes penceraian rumahtangga direkodkan termasuklah kes tertunggak tahun-tahun sebelumnya. Suatu jumlah skala besar yang harus diberikan perhatian serius oleh masyarakat untuk ditangani segera. 
 Seterusnya, kajian JAKIM pada tahun 2007 mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Lima tahun pertama boleh diibaratkan sebagai usia perkahwinan yang masih malar hijau, namun itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita yang lebih suka mencari jalan singkat dengan menjadikan penceraian sebagai ‘jalan terbaik’ buat mereka!
Faktor berlakunya Penceraian
·     Bercakap mengenai faktor penceraian, ingatlah bahawa sesuatu berlaku itu pasti ada sebabnya maka carilah punca masalah itu. Antara punca berlakunya penceraian rumah tangga ialah:

       1. (12 peratus) disebabkan tiada persefahaman
       2. (11.5 peratus) kerana tidak bertanggungjawab.
       3. (8.8 peratus) kerana campur tangan mentua atau ipar duai
       4. (7.1 peratus) disebabkan ketagih dadah atau alkohol
       5. (1.6 peratus) kerana masalah kewangan
       6. (1.1 peratus) kerana terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan
       7. (0.5 peratus) kerana didera
       8. (12.6 peratus) kerana faktor-faktor lain


·         Perceraian disebabkan tiada persefahaman kebanyakannya membabitkan pasangan:
  •      Cina, iaitu 45.8 peratus 
  •      Melayu (44.9 peratus) 
  •      India (20  peratus)


·         Perceraian disebabkan campur tangan mentua dan ipar duai
  •     India : (30 peratus) 
  •     Melayu (7.4 peratus)

Dilaporkan oleh  Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman Di dalam kertas kerja mengenai Profil Keluarga Di Malaysia dan Kesannya Kepada Masyarakat pada Seminar Keluarga Mendepani Cabaran.
Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004



Keratan Akhbar Harian Metro 7 Dec 2010
PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan. Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.


Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadilatnya berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat) dan solat (sunat)?” Maka Abu Darda’ menjawab: “Ya, Rasulullah.” Baginda membalas: “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat.” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud) Rasulullah turut menyatakan bahawasanya: “Kerosakan dalam hubungan rumah tangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama).” (Riwayat Ahmad dan Tirmidhi: Hadis Hasan) .

KAITAN ZINA DENGAN PERCERAIAN

·       IMPLIKASI ZINA TERHADAP PERKAHWINAN

Islam menyifatkan perbuatan zina sebagai penggugat kehidupan masyarakat dan kesejahteraan ummah. Zina adalah musuh ketat kepada institusi keluarga yang mana keluarga adalah punca dan asas kepada jatuh dan bangun sesebuah negara.

Membenarkan perbuatan zina atau membiarkan masyarakat terus melakukan perbuatan dan perkara yang membawa kepada zina boleh menyebarluaskan kejahatan dan keburukan di kalangan masyarakat. Ia akan menghancurkan institusi kekeluargaan dan akhir sekali menghancurkan ummah. Masyarakat Eropah dan masyarakat Barat pada umumnya rosak disebabkan zina. Akhlak yang mulia hancur disebabkan pergaulan yang tidak mengenal batasan. Anak-anak gadis di bawah umur lagi sudah sedia mengenali budaya buruk ini. Dengan kata lain, anak-anak gadis pada umur 15 tahun lagi ataupun yang lebih awal dari itu sudah hilang dara. Tegasnya, bersekedudukan sebelum kahwin adalah perkara biasa bagi masyarakat barat. Oleh itu, hari ini arus pemikiran Barat tersebar luas di kalangan masyarakat dunia. Seruan kebebasan wanita dilaungkan dan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan tanpa batasan dianggap sebagai perlakuan biasa dalam masyarakat.

Al-Qardhawi menegaskan bahawa di antara implikasi-implikasi berlakunya pergaulan bebas
ialah :

· Keruntuhan akhlak
· Wujudnya anak-anak yang tidak sah taraf (anak luar nikah)
· Merebaknya pelbagai penyakit merbahaya seperti HIV/AIDS
· Sebahagian besar perempuan dan lelaki akan terus membujang
· Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh

Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas bagi negara yang soleh, bertamadun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. Salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan