Friday 7 October 2011

PENGANGGURAN


Pengangguran berlaku apabila seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak mendapat sebarang pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara iaitu mereka yang berumur 16 hingga 64 tahun dan sanggup bekerja. Dalam masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja menjadikan pengangguran adalah masalah yang serius. Kesan negatifnya termasuklah kehilangan, perasaan ditolak, dan kegagalan peribadi, dan kerana itu pengangguran digunakan secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja. Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi. Menurut pakar ekonomi Keynes, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran 4% atau kurang menunjukkan negara tersebut telah mencapai guna tenaga buruh. 

FAKTOR-FAKTOR PENGANGGURAN

Terdapat empat jenis faktor pengangguran iaitu geseran atau normal, bermusim, dan berkitar. Pengangguran geseran atau normal berlaku apabila pekerja berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain tetapi tidak mendapat dengan serta merta dan ketika itu mereka dikira sebagai penganggur. Pengangguran jenis ini berlaku sementara sahaja sehingga pekerja menemui pekerjaan yang mereka mahukan.

 Pengangguran bermusim berlaku sebagai contoh apabila industri mengalami musim yang lembab seperti  dalam pembinaan, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim menuai, dan nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan pada musim tengkujuh.

Pengangguran berstruktur pula muncul daripada ketidakseimbangan di antara jenis pekerjaan yang pekerja inginkan dan jenis pekerja yang majikan mahukan. Ketidakseimbangan ini boleh disebabkan oleh kekurangan kemahiran, lokasi, atau karakter peribadi. Pembangunan teknologi misalnya menyebabkan keperluan kemahiran baru dalam banyak industri, menyebabkan mereka yang tidak mengemaskini kemahiran mereka kehilangan pekerjaan. Dan kilang dalam industri yang merosot akan tutup menyebabkan pekerja mereka hilang pekerjaan.


Manakala pengangguran berkitar disebabkan oleh kekurangan permintaan bagi buruh. Apabila kitaran perniagaan menjunam contohnya dalam kemelesetan ekonomi, permintaan bagi barang dan perkhidmatan jatuh, akibatnya para pekerja diberhentikan.

KESAN PENGANGGURAN
           
Kesan pengangguran yang berlaku lebih menjurus ke arah ekonomi dan sosial sesebuah negara.Antara kesan ekonomi yang berlaku ialah mengurangkan keluaran negara, menurunkan taraf hidup, dan sekaligus melambatkan pembangunan negara.Dengan kadar pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.
                                  
Kesan pengangguran terhadap sosial termasuklah pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa serta tiada keyakinan dalam diri.

KESIMPULAN

Pengangguran bukan sahaja menjadi masalah kepada para penganggur malahan menjadi satu isu kepada masyarakat apabila wujudnya lebihan tenaga buruh.





            

No comments:

Post a Comment