Friday 7 October 2011

PENGANGGURAN


Pengangguran berlaku apabila seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak mendapat sebarang pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara iaitu mereka yang berumur 16 hingga 64 tahun dan sanggup bekerja. Dalam masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja menjadikan pengangguran adalah masalah yang serius. Kesan negatifnya termasuklah kehilangan, perasaan ditolak, dan kegagalan peribadi, dan kerana itu pengangguran digunakan secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja. Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi. Menurut pakar ekonomi Keynes, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran 4% atau kurang menunjukkan negara tersebut telah mencapai guna tenaga buruh. 

FAKTOR-FAKTOR PENGANGGURAN

Terdapat empat jenis faktor pengangguran iaitu geseran atau normal, bermusim, dan berkitar. Pengangguran geseran atau normal berlaku apabila pekerja berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain tetapi tidak mendapat dengan serta merta dan ketika itu mereka dikira sebagai penganggur. Pengangguran jenis ini berlaku sementara sahaja sehingga pekerja menemui pekerjaan yang mereka mahukan.

 Pengangguran bermusim berlaku sebagai contoh apabila industri mengalami musim yang lembab seperti  dalam pembinaan, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim menuai, dan nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan pada musim tengkujuh.

Pengangguran berstruktur pula muncul daripada ketidakseimbangan di antara jenis pekerjaan yang pekerja inginkan dan jenis pekerja yang majikan mahukan. Ketidakseimbangan ini boleh disebabkan oleh kekurangan kemahiran, lokasi, atau karakter peribadi. Pembangunan teknologi misalnya menyebabkan keperluan kemahiran baru dalam banyak industri, menyebabkan mereka yang tidak mengemaskini kemahiran mereka kehilangan pekerjaan. Dan kilang dalam industri yang merosot akan tutup menyebabkan pekerja mereka hilang pekerjaan.


Manakala pengangguran berkitar disebabkan oleh kekurangan permintaan bagi buruh. Apabila kitaran perniagaan menjunam contohnya dalam kemelesetan ekonomi, permintaan bagi barang dan perkhidmatan jatuh, akibatnya para pekerja diberhentikan.

KESAN PENGANGGURAN
           
Kesan pengangguran yang berlaku lebih menjurus ke arah ekonomi dan sosial sesebuah negara.Antara kesan ekonomi yang berlaku ialah mengurangkan keluaran negara, menurunkan taraf hidup, dan sekaligus melambatkan pembangunan negara.Dengan kadar pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.
                                  
Kesan pengangguran terhadap sosial termasuklah pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa serta tiada keyakinan dalam diri.

KESIMPULAN

Pengangguran bukan sahaja menjadi masalah kepada para penganggur malahan menjadi satu isu kepada masyarakat apabila wujudnya lebihan tenaga buruh.





            

KAHWIN LARI

KAHWIN lari, satu istilah yang biasa digunakan masyarakat Islam merujuk kepada pasangan yang bernikah secara senyap di sempadan negara atau melalui sindiket di dalam negara sendiri. Dewasa ini, fenomena itu nampaknya semakin menjadi-jadi. 

Implikasi kahwin lari

  • Meruntuhkan sistem kekeluargaan Islam yang murni.
    • Islam sangat menggalakkan umatnya supaya melakukan proses perkahwinan secara teratur dan beradab. Tidak pernah sekali pun kita membaca sirah Rasulullah SAW membenarkan para sahabatnya kahwin lari bagi sebarang masalah dihadapi sekalipun, sebaliknya Baginda sendiri yang akan mewakili sahabatnya bagi upacara peminangan dan selanjutnya.
    • Kita juga amat memahami bahawa meminang itu sunat muakkad dalam Mazhab Syafie. Permohonan dengan penuh beradab untuk mengambil anak perempuan sesuatu keluarga dilihat sangat sesuai dengan Islam sebagai agama yang murni lagi selamat.

  • Menghilangkan hak wali.
    • Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada anda? Saya sangat menyokong tindakan wali (kebiasaannya bapa perempuan) memohon kepada Mahkamah Syariah perintah Mufarakah dan sebagainya bagi memastikan anaknya benar-benar dinikahi secara bertepatan syarak.

  • Mengeruhkan hubungan kekeluargaan.
    • Antara hikmah digalakkan perkahwinan dalam Islam adalah bagi mengembangkan silaturrahim antara sesama Muslim. Semakin jauh kaitan kekeluargaan, semakin baik bagi tujuan itu.Namun, kahwin lari berlaku sebaliknya. Bukannya mengembang silaturrahim malah bertambah menguncup. Anak perempuan dan bapa akan bermusuhan apatah lagi menantu. Keluarga kedua-dua pihak akan menyalahkan antara satu sama lain dan lebih parah lagi akan berlaku pergaduhan. Inikah yang diimpikan daripada sebuah perkahwinan? Jelas sekali jawapannya tidak.

  • Pernikahan diragui.
    • Walaupun kahwin lari memenuhi rukun syarak akan diperakui sah, pernahkah kita terbaca atau mengalami kisah seorang isteri mempunyai dua suami? Menantu berkahwin dengan mentua? Isteri yang diceraikan tetapi masih dalam edah dinikahi?Tahukah kita betapa longgarnya peraturan dan undang-undang pernikahan di negara jiran? Tahukah kita, ada banyak sindiket yang tidak bertauliah berlumba-lumba mencari pasangan untuk dinikahi? Pernikahan sebegini jelas menyebabkan statusnya diragui kesahihannya.Sudah wujud banyak sindiket pernikahan di merata negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah, Kelantan dan lain-lain. Mereka tidak mengira halal haram asalkan bayaran diterima bagi pasangan yang terdesak. Tidak kurang juga sindiket yang menguruskan kahwin lari secara sah di negara jiran.Pernahkah kita mendengar kisah sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dan gagal mengemukakan sebarang bukti pernikahan, datang seminggu kemudiannya membawa sijil nikah negara sempadan? Saya bimbang dengan kawalan dan undang-undang yang longgar, sijil nikah ini mudah diperoleh melalui sindiket tanpa melalui proses pernikahan sah mengikut hukum syarak.


  • Menutup pintu pengiktirafan perkahwinan tanpa permohonan dan kebenaran yang sah.
    • Pernikahan tanpa kebenaran tidak langsung diberi pengiktirafan dan tidak didaftarkan dengan hanya pengecualian kes khas yang memerlukan tandatangan sokongan seseorang yang diyakini dan dipercayai seperti Mufti atau Ketua Hakim Syariah negeri.

Dengan cara ini, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat risiko kahwin lari serta membendungnya. Dengan syarat permohonan dan kelulusan pernikahan secara sah (termasuk poligami) hendaklah dipermudahkan.
Contoh keratan akhbar mengenai isu kahwin lari
1 ) KUALA LUMPUR: Hakim mahkamah syariah diminta menggunakan kebijaksanaan membuat penelitian terhadap setiap kes secara mendalam dan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum memberi kebenaran kepada gadis Islam bawah umur untuk berkahwin. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, walaupun perkahwinan gadis Islam di bawah usia 16 tahun dibenarkan di negara ini dengan syarat ia mendapat kebenaran mahkamah syariah, hakim masih mempunyai tanggungjawab menggunakan budi bicara dengan meneliti kes dari setiap sudut sebelum memberi lampu hijau.
Katanya, ini penting bagi memastikan gadis terbabit benar-benar bersedia menjadi isteri dan ibu berikutan pihaknya tidak mahu perkahwinan seumpamanya memberi kesan jangka panjang tidak seperti diharapkan.
Bukan kami minta hakim tidak benarkan mereka berkahwin, tetapi kami minta hakim bersikap lebih memilih dalam meneliti setiap kes kerana kami tidak mahu ia menjadi norma di negara ini.
Contohnya, jika gadis itu baru berusia 10 tahun dan ibu bapa membuat keputusan untuk mengahwinkannya, adakah bijak bagi seseorang hakim untuk memberi kebenaran kerana adakah gadis itu benar-benar bersedia menggalas tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu? katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Institusi Keluarga Kurun ke-21: Ideal dan Realiti, di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, Katanya, penelitian harus dibuat sebelum kebenaran dikeluarkan kerana pihaknya tidak mahu melihat wujud keadaan di mana kanak-kanak membesarkan kanak-kanak di negara ini.
Undang-undang sivil membenarkan perempuan berusia 16 hingga 18 tahun berkahwin dengan kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri, manakala undang-undang keluarga Islam menetapkan had umur 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk perempuan dengan perkahwinan bawah umur memerlukan kebenaran mahkamah. Katanya, perkahwinan pada usia sangat muda atau perkahwinan kanak-kanak bukan budaya di negara ini, tetapi beberapa perkahwinan sebelum ini membabitkan gadis Islam bawah umur seolah-olah menunjukkan ramai kanak-kanak dibenarkan berkahwin.
Sumber : Harian Metro
2 ) KOTA BHARU: Mahkamah mendapati tuntutan ini (mufarakah) tidak ada asas bagi membatalkan perkahwinan kerana tidak mempunyai surat nikah selain hanya dakwaan plaintif mengenai pernikahan itu.Wali mujbir boleh mengahwinkan anaknya, persoalannya adakah perkahwinan mereka sah atau tidak dari hukum syarak. Dalam hal ini, wali tidak ada niat untuk mengahwinkan anaknya dan didapati pernikahan itu ada unsur penipuan, paksaan dan ugutan, kata Hakim Abdullah Man di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Abdullah berkata demikian sejurus membuat keputusan berhubung pernikahan antara kanak-kanak 11 tahun yang dikahwinkan bapanya dengan pemimpin sebuah kumpulan tabligh, Shamsuddin Che Deraman, 41, tidak sah mengikut hukum syarak.


Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya: 

l Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.

l Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.
Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.

l Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.

Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.

Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.

BULI

Memang tidak boleh dinafikan bahawa, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Gejala buli merupakan jenayah yang acapkali dilakukan oleh remaja sehingga sering menjadi bahan perbincangan  melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai.Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif kepada pembuli dan pemangsa.

Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini. Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan. Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.

Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini. Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’. Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.