KAHWIN lari, satu istilah yang biasa digunakan masyarakat Islam merujuk kepada pasangan yang bernikah secara senyap di sempadan negara atau melalui sindiket di dalam negara sendiri. Dewasa ini, fenomena itu nampaknya semakin menjadi-jadi.
Implikasi kahwin lari
- Meruntuhkan sistem kekeluargaan Islam yang murni.
- Islam sangat menggalakkan umatnya supaya melakukan proses perkahwinan secara teratur dan beradab. Tidak pernah sekali pun kita membaca sirah Rasulullah SAW membenarkan para sahabatnya kahwin lari bagi sebarang masalah dihadapi sekalipun, sebaliknya Baginda sendiri yang akan mewakili sahabatnya bagi upacara peminangan dan selanjutnya.
- Kita juga amat memahami bahawa meminang itu sunat muakkad dalam Mazhab Syafie. Permohonan dengan penuh beradab untuk mengambil anak perempuan sesuatu keluarga dilihat sangat sesuai dengan Islam sebagai agama yang murni lagi selamat.
- Menghilangkan hak wali.
- Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada anda? Saya sangat menyokong tindakan wali (kebiasaannya bapa perempuan) memohon kepada Mahkamah Syariah perintah Mufarakah dan sebagainya bagi memastikan anaknya benar-benar dinikahi secara bertepatan syarak.
- Mengeruhkan hubungan kekeluargaan.
- Antara hikmah digalakkan perkahwinan dalam Islam adalah bagi mengembangkan silaturrahim antara sesama Muslim. Semakin jauh kaitan kekeluargaan, semakin baik bagi tujuan itu.Namun, kahwin lari berlaku sebaliknya. Bukannya mengembang silaturrahim malah bertambah menguncup. Anak perempuan dan bapa akan bermusuhan apatah lagi menantu. Keluarga kedua-dua pihak akan menyalahkan antara satu sama lain dan lebih parah lagi akan berlaku pergaduhan. Inikah yang diimpikan daripada sebuah perkahwinan? Jelas sekali jawapannya tidak.
- Pernikahan diragui.
- Walaupun kahwin lari memenuhi rukun syarak akan diperakui sah, pernahkah kita terbaca atau mengalami kisah seorang isteri mempunyai dua suami? Menantu berkahwin dengan mentua? Isteri yang diceraikan tetapi masih dalam edah dinikahi?Tahukah kita betapa longgarnya peraturan dan undang-undang pernikahan di negara jiran? Tahukah kita, ada banyak sindiket yang tidak bertauliah berlumba-lumba mencari pasangan untuk dinikahi? Pernikahan sebegini jelas menyebabkan statusnya diragui kesahihannya.Sudah wujud banyak sindiket pernikahan di merata negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah, Kelantan dan lain-lain. Mereka tidak mengira halal haram asalkan bayaran diterima bagi pasangan yang terdesak. Tidak kurang juga sindiket yang menguruskan kahwin lari secara sah di negara jiran.Pernahkah kita mendengar kisah sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dan gagal mengemukakan sebarang bukti pernikahan, datang seminggu kemudiannya membawa sijil nikah negara sempadan? Saya bimbang dengan kawalan dan undang-undang yang longgar, sijil nikah ini mudah diperoleh melalui sindiket tanpa melalui proses pernikahan sah mengikut hukum syarak.
- Menutup pintu pengiktirafan perkahwinan tanpa permohonan dan kebenaran yang sah.
- Pernikahan tanpa kebenaran tidak langsung diberi pengiktirafan dan tidak didaftarkan dengan hanya pengecualian kes khas yang memerlukan tandatangan sokongan seseorang yang diyakini dan dipercayai seperti Mufti atau Ketua Hakim Syariah negeri.
Dengan cara ini, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat risiko kahwin lari serta membendungnya. Dengan syarat permohonan dan kelulusan pernikahan secara sah (termasuk poligami) hendaklah dipermudahkan.
Contoh keratan akhbar mengenai isu kahwin lari
1 ) KUALA LUMPUR: Hakim mahkamah syariah diminta menggunakan kebijaksanaan membuat penelitian terhadap setiap kes secara mendalam dan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum memberi kebenaran kepada gadis Islam bawah umur untuk berkahwin. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, walaupun perkahwinan gadis Islam di bawah usia 16 tahun dibenarkan di negara ini dengan syarat ia mendapat kebenaran mahkamah syariah, hakim masih mempunyai tanggungjawab menggunakan budi bicara dengan meneliti kes dari setiap sudut sebelum memberi lampu hijau.
Katanya, ini penting bagi memastikan gadis terbabit benar-benar bersedia menjadi isteri dan ibu berikutan pihaknya tidak mahu perkahwinan seumpamanya memberi kesan jangka panjang tidak seperti diharapkan.
Bukan kami minta hakim tidak benarkan mereka berkahwin, tetapi kami minta hakim bersikap lebih memilih dalam meneliti setiap kes kerana kami tidak mahu ia menjadi norma di negara ini.
Contohnya, jika gadis itu baru berusia 10 tahun dan ibu bapa membuat keputusan untuk mengahwinkannya, adakah bijak bagi seseorang hakim untuk memberi kebenaran kerana adakah gadis itu benar-benar bersedia menggalas tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu? katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Institusi Keluarga Kurun ke-21: Ideal dan Realiti, di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, Katanya, penelitian harus dibuat sebelum kebenaran dikeluarkan kerana pihaknya tidak mahu melihat wujud keadaan di mana kanak-kanak membesarkan kanak-kanak di negara ini.
Undang-undang sivil membenarkan perempuan berusia 16 hingga 18 tahun berkahwin dengan kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri, manakala undang-undang keluarga Islam menetapkan had umur 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk perempuan dengan perkahwinan bawah umur memerlukan kebenaran mahkamah. Katanya, perkahwinan pada usia sangat muda atau perkahwinan kanak-kanak bukan budaya di negara ini, tetapi beberapa perkahwinan sebelum ini membabitkan gadis Islam bawah umur seolah-olah menunjukkan ramai kanak-kanak dibenarkan berkahwin.
Sumber : Harian Metro
2 ) KOTA BHARU: Mahkamah mendapati tuntutan ini (mufarakah) tidak ada asas bagi membatalkan perkahwinan kerana tidak mempunyai surat nikah selain hanya dakwaan plaintif mengenai pernikahan itu.Wali mujbir boleh mengahwinkan anaknya, persoalannya adakah perkahwinan mereka sah atau tidak dari hukum syarak. Dalam hal ini, wali tidak ada niat untuk mengahwinkan anaknya dan didapati pernikahan itu ada unsur penipuan, paksaan dan ugutan, kata Hakim Abdullah Man di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Abdullah berkata demikian sejurus membuat keputusan berhubung pernikahan antara kanak-kanak 11 tahun yang dikahwinkan bapanya dengan pemimpin sebuah kumpulan tabligh, Shamsuddin Che Deraman, 41, tidak sah mengikut hukum syarak.
Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya:
l Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.
l Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.
Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.
l Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.
Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.
Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.
Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.
Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.