Friday, 23 September 2011

PENCERAIAN ISU RUMAH TANGGA ISLAM


Penceraian! Tahukah anda bahawa ia perkara yang Halal dilaksanakan dalam konteks Islam namun amat tidak disukai Allah? Penceraian di antara suami dan isteri ibarat merobohkan sebuah masjid malahan lebih daripada itu ia akan menggegarkan Tiang Arasy! 

Menyentuh mengenai soal penceraian, ianya dilihat sebagai sesuatu perkara normal yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Tak kurang juga yang beranggapan bahawa isu penceraian kini telah menjadi ‘trend’ atau gaya hidup bagi golongan-golongan tertentu. Tak perlu nak tuding jari kepada artis atau selebriti tanah air yang sememangnya cukup sinonim tentang kamus cerai berai, sebaliknya penyakit yang satu ini tidak mengenal siapa mangsanya.

Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2009, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit! Adalah menjadi sesuatu yang membimbangkan apabila soal institusi keluarga ini dipandang remeh sehinggakan soal perkahwinan dijadikan perkara ‘main-main’ oleh golongan tertentu. Melihat semula catatan statistik kes penceraian yang berlaku pada tahun 2002, sekitar 13,937 kes telah dicatatkan. Sepanjang tahun 2007 dan 2008, 75,299 kes penceraian rumahtangga direkodkan termasuklah kes tertunggak tahun-tahun sebelumnya. Suatu jumlah skala besar yang harus diberikan perhatian serius oleh masyarakat untuk ditangani segera. 
 Seterusnya, kajian JAKIM pada tahun 2007 mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Lima tahun pertama boleh diibaratkan sebagai usia perkahwinan yang masih malar hijau, namun itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita yang lebih suka mencari jalan singkat dengan menjadikan penceraian sebagai ‘jalan terbaik’ buat mereka!
Faktor berlakunya Penceraian
·     Bercakap mengenai faktor penceraian, ingatlah bahawa sesuatu berlaku itu pasti ada sebabnya maka carilah punca masalah itu. Antara punca berlakunya penceraian rumah tangga ialah:

       1. (12 peratus) disebabkan tiada persefahaman
       2. (11.5 peratus) kerana tidak bertanggungjawab.
       3. (8.8 peratus) kerana campur tangan mentua atau ipar duai
       4. (7.1 peratus) disebabkan ketagih dadah atau alkohol
       5. (1.6 peratus) kerana masalah kewangan
       6. (1.1 peratus) kerana terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan
       7. (0.5 peratus) kerana didera
       8. (12.6 peratus) kerana faktor-faktor lain


·         Perceraian disebabkan tiada persefahaman kebanyakannya membabitkan pasangan:
  •      Cina, iaitu 45.8 peratus 
  •      Melayu (44.9 peratus) 
  •      India (20  peratus)


·         Perceraian disebabkan campur tangan mentua dan ipar duai
  •     India : (30 peratus) 
  •     Melayu (7.4 peratus)

Dilaporkan oleh  Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman Di dalam kertas kerja mengenai Profil Keluarga Di Malaysia dan Kesannya Kepada Masyarakat pada Seminar Keluarga Mendepani Cabaran.
Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004



Keratan Akhbar Harian Metro 7 Dec 2010
PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan. Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.


Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadilatnya berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat) dan solat (sunat)?” Maka Abu Darda’ menjawab: “Ya, Rasulullah.” Baginda membalas: “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat.” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud) Rasulullah turut menyatakan bahawasanya: “Kerosakan dalam hubungan rumah tangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama).” (Riwayat Ahmad dan Tirmidhi: Hadis Hasan) .

KAITAN ZINA DENGAN PERCERAIAN

·       IMPLIKASI ZINA TERHADAP PERKAHWINAN

Islam menyifatkan perbuatan zina sebagai penggugat kehidupan masyarakat dan kesejahteraan ummah. Zina adalah musuh ketat kepada institusi keluarga yang mana keluarga adalah punca dan asas kepada jatuh dan bangun sesebuah negara.

Membenarkan perbuatan zina atau membiarkan masyarakat terus melakukan perbuatan dan perkara yang membawa kepada zina boleh menyebarluaskan kejahatan dan keburukan di kalangan masyarakat. Ia akan menghancurkan institusi kekeluargaan dan akhir sekali menghancurkan ummah. Masyarakat Eropah dan masyarakat Barat pada umumnya rosak disebabkan zina. Akhlak yang mulia hancur disebabkan pergaulan yang tidak mengenal batasan. Anak-anak gadis di bawah umur lagi sudah sedia mengenali budaya buruk ini. Dengan kata lain, anak-anak gadis pada umur 15 tahun lagi ataupun yang lebih awal dari itu sudah hilang dara. Tegasnya, bersekedudukan sebelum kahwin adalah perkara biasa bagi masyarakat barat. Oleh itu, hari ini arus pemikiran Barat tersebar luas di kalangan masyarakat dunia. Seruan kebebasan wanita dilaungkan dan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan tanpa batasan dianggap sebagai perlakuan biasa dalam masyarakat.

Al-Qardhawi menegaskan bahawa di antara implikasi-implikasi berlakunya pergaulan bebas
ialah :

· Keruntuhan akhlak
· Wujudnya anak-anak yang tidak sah taraf (anak luar nikah)
· Merebaknya pelbagai penyakit merbahaya seperti HIV/AIDS
· Sebahagian besar perempuan dan lelaki akan terus membujang
· Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh

Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas bagi negara yang soleh, bertamadun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. Salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan



No comments:

Post a Comment