Friday 23 September 2011

KEGIATAN PELACURAN DI MALAYSIA

Sejak akhir-akhir ini, banyak kes pelacuran sering kali menghiasi di dada akhbar, internet, televisyen dan malah turut juga mendapat perhatian antarabangsa. Ianya seakan telah menjadi satu penyakit serius yang semakin menular dalam masyarakat kita. Serbuan demi serbuan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengatasi atau membendung masalah sosial ini langsung seakan tidak memberikan kesan kepada sindiket pelacuran atau pelacur itu sendiri. 

            
Selagi adanya pelanggan yang melanggani pelacur, pastinya sukar untuk menghapuskan aktiviti pelacuran ini sama sekali. Ini adalah kerana melalui kegiatan pelacuran ini, sindiket dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Ini dapat dibuktikan dengan hasil kajian lima tahun yang telah dilakukan oleh Dr. Lukman @ Zawawi Muhammad Lukman mendapati usia “bapa ayam” yang mengawal pelacur kanak-kanak semakin muda iaitu 18 hingga 20 tahun. Malah, bayaran yang tinggi akan dikenakan kepada pelanggan bagi mendapatkan khidmat pelacur yang masih muda dan “suci”. Oleh sebab itulah, sindiket pelacuran menjadikan golongan ini sebagai sasaran mereka. Pelbagai cara atau taktik yang digunakan oleh pihak sindiket untuk menarik golongan ini menyertai kegiatan pelacuran yang dijalankan oleh pihak sindiket. Mangsa akan ditawarkan dengan pelbagai janji manis yang ditaburkan terutamanya dengan mangsa yang dibelenggu kemiskinan atau desakan hidup. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 4315 kes kanak-kanak berusia bawah 18 tahun terbabit dalam pelacuran antara 1995 hingga 1999 dan jumlah ini adalah jumlah kes yang dapat diselamatkan. Ini jelas menunjukkan, kemiskinan hidup mampu menjadikan seseorang atau mendesak seseorang itu untuk melakukan apa sahaja untuk meneruskan hidup. Sama seperti yang dipaparkan dalam satu akhbar tempatan baru-baru ini, akibat kemiskinan hidup, dua orang ibu terpaksa melacurkan diri di Penang demi membesarkan anak-anak yang bersekolah. Itu merupakan akibat daripada desakan hidup seseorang sehingga memaksa mereka ke kancah pelacuran. Malah, pernah dahulu digemparkan kes pelajar terpaksa melacurkan diri bagi membiayai kos pengajian.



KERATAN AKHBAR


“KOTA KINABALU 4 Dis. – Kementerian Pengajian Tinggi diminta segera menjalankan siasatan yang menyeluruh mengenai dakwaan terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa ‘menjadi pelacur’ bagi membiayai kos pengajian mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Harnisa Samat berkata, masalah itu perludiberi perhatian serius oleh kementerian kerana bukan sahaja menjejaskan nama baik IPT tetapi juga bagi menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat.

“Kita amat berharap ada maklum balas segera daripada pihak kementerian kerana isu ini telah lama diperkatakan dan kini dibangkitkan sekali lagi.

“Isu pelajar IPT ‘terpaksa’ melacur ini ibarat barah yang jika tidak diubati dan diambil langkah-langkah pencegahan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hamisa berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr. Jaina Sintian pada symposium parti itu Khamis lepas bahawa ada pelajar IPT yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka. – Bernama.

 (Sumber: Utusan Malaysia Online)

Walaupun begitu, juga terdapat golongan yang memilih untuk melacurkan diri sebagai jalan mudah untuk mendapatkan kehidupan mewah dan tidak perlu bekerja keras. Tidak dinafikan bahawa terdapat juga mangsa yang terpaksa melacur akibat terpedaya, tertipu atau dipaksa. Terutama bagi golongan remaja yang berdarah panas yang sentiasa mencari sesuatu yang baru dan mencabar atau sebagainya. Tambahan lagi, sekiranya remaja tersebut yang masih tidak mempunyai pemikiran yang matang, mempunyai keluarga yang bermasalah atau mangsa penceraian, amatlah mudah untuk diperdayakan oleh sindiket. Manakala, yang dipaksa pula, kebiasaannya mangsa dipaksa oleh suami untuk melacurkan diri untuk menyara hidup dan sememangnya perbuatan suami ini adalah sangat keji. Terdapat juga mangsa yang dipaksa oleh pemiutang untuk menjadi pelacur bagi melunaskan hutang kepada pemiutang. 

Dengan bertambah pesatnya teknologi berkembang, semakin bertambah juga medium yang digunakan oleh sindiket pelacuran bagi meluaskan dan memudahkan lagi kegiatan mereka. Contohnya, melalui laman sosial seperti Tagged dan juga Myspace, sindiket boleh mendapatkan pelanggan dengan menawarkan pelacur kepada pelanggan. Malah, pelacur juga mampu menjalankan kegiatan pelacuran dan mampu membuat tawar-menawar melalui laman sosial tersebut. Oleh disebabkan itu, pihak berkuasa sukar untuk menangkap dalang sindiket kegiatan pelacuran. Bukan sahaja faktor lokasi yang berubah-ubah menyukarkan pihak berkuasa, malah juga disebabkan perlindungan oleh pihak berpengaruh dan kaya serta kerjasama daripada sindiket luar negara lebih menyukarkan tindakan pihak berkuasa.


 Masyarakat perlulah menitikberatkan tentang masalah ini kerana kesan kegiatan pelacuran adalah sangat buruk. Kesan daripada seseorang yang menjadi pelacur adalah boleh terkena penyakit-berjangkit melalui alat kelamin seperti herpes, sifilis, AIDS dan HIV. Selain masalah psikologi, risiko untuk mengandung anak luar nikah adalah tinggi. Adalah mustahil bagi seseorang pelacur untuk memelihara kandungan apabila mengetahui dirinya mengandung, maka sudah pastilah mereka akan menggugurkan kandungan tersebut. Kesan lain adalah seperti pengambilan dadah, dipandang hina oleh masyarakat, menjatuhkan maruah keluarga dan juga tiada harga diri.

Walau apa pun sebabnya, perlulah dielakkan daripada terjebak dalam kancah pelacuran. Ini adalah kerana bila sudah tersalah langkah sekali dan terjerumus dalam kancah pelacuran ini, amatlah susah untuk kembali semula ke pangkal jalan. Bukannya tiada jalan pulang bagi yang sudah terjebak dalam kegiatan pelacuran ini kerana peluang itu sentiasa ada, cuma apa yang perlu dilakukan adalah untuk bertaubat, berani untuk berubah dan memerlukan semangat yang kuat untuk menjalani kehidupan baru.
Sumber : Sinar Harian Online          




 







No comments:

Post a Comment