Wednesday 28 September 2011

PEMBUANGAN BAYI DALAM KALANGAN REMAJA DI MALAYSIA

Sebelum ini kita sering memperkatakan permasalahan tentang seks bebas, pergaulan bebas, penagihan dadah, pencabulan, penderaan anak-anak, dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat. Kini, kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi yang semakin berleluasa. sehingga Masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja ini merupakan satu natijah buruk yang terhasil akibat daripada pelbagai masalah masyarakat yang melanda pada masa kini.  

Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui. Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".


Mereka yang membuang bayi ini biasanya mereka yang sudah terlanjur melakukan seks bebas. Mereka sanggup membuang bayi dengan harapan mereka diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang baru dan semestinya bagi mengelakkan daripada diejek, dicemuh dan dicaci oleh masyarakat setempat tentang perlakuan mereka. Mereka ini tidak sepatutnya dicemuh dan dikeji, sebaliknya diberi bantuan dan sokongan moral dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini. 






Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
  • Kurang Didikan dan Kefahaman Agama
    • Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah     menyebabkan  mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. 

  • Pengaruh Rakan Sebaya
    • Pada usia muda lagi, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini menjadi bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif dan tidak bermoral. Rakan-rakan yang negatif ini tidak teragak-agak mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.
  • Sikap Ingin Tahu Remaja 
    • Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini.


Kesan-kesan masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
  • Kesan kepada Bayi
    • Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi, bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah, yakni usia remaja. Akibat daripada hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri, bayi-bayi telah menjadi mangsa dan kesannya, semua bayi ini hidup tidak mengenali dan mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kandung mereka. Bayi-bayi ini juga terpaksa memikul gelaran anak luar nikah sepanjang hidup mereka walaupun mereka menjadi mangsa keadaan dalam masalah ini. 
  • Kesan kepada Ibu Bayi
    • Kesan yang kedua pula adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi.
  • Kesan kepada Masyarakat
    • Kes pembuangan bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada berlaku.

Langkah-langkah mengatasi masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
  • Peranan Ibu Bapa
    • Para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang penuh kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke lembah maksiat seperti seks rambang, pergaulan bebas, dan sebagainya.

  • Peranan Sekolah
    • Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mencorak sahsiah peribadi remaja daripada terjebak dengan gejala ini. Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan masalah sosial .
  • Pencegahan sebelum berlaku
    • Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Walaupun gejala ini bermula dengan masalah individu tetapi jika tidak dibendung ianya akan memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan masyarakat sekitarnya.

    Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi. Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka.

1 comment: